Ads

Random Posts

Powered by Blogger.

BERITA

SUDUT ILMIAH

POSTER

PHOTO

Racing

News

POSTER

Dalam sesebuah rumah tangga, dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan ibu. Seorang isteri sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ibu pula terbabit secara langsung dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal ehwal rumah tangga dengan bantuan suami. Firman Allah:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)

Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian. Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu:

  • Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan.
  • Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu
  • Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain
  • Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat.
  • Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki.
  • Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami.
  • Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.

Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya utama sebagai serikandi dan bidadari dalam rumah tangga.

Bagi wanita yang bekerjaya walaupun penat dengan tugas-tugas di pejabat dan di rumah, ingatlah bahawa mudahnya para wanita terutamanya berstatus isteri mendapat pahala. Kejarlah ganjaran di akhirat kelak.

1. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1000 orang lelaki yang jahat.

2. Dua rakaat solat daripada wanita hamil lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

3. Wanita yang beri susu kepada anaknya daripada buah dadanya akan mendapat satu pahala daripada setiap titik susu yang diberikannya.

4. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri layan dengan baik akan mendapat pahala jihad.

5. Seorang isteri yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

6. Isteri yang melihat suami dengan kasih sayang dan suami pula melihat isteri dengan penuh kasih sayang, Allah s.w.t. akan pandang dengan penuh rahmat.

7. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar di jalan Allah s.w.t. dan kemudian menjaga rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya dan jadi ketua kepada 70 000 Malaikat dan bidadari. Wanita itu akan dimandikan dalam syurga lalu menunggu suaminya sambil menaiki kuda yang dibuat dari permata Yaqut.

8. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampun oleh Allah s.w.t. seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah s.w.t. memberinya 12 tahun pahala ibadat.

9. Wanita yang memerah susu binatang dengan bacaan “Bismillah” didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

10. Wanita yang menguli tepung dengan “Bismillah” Allah s.w.t. akan berkatkan rezekinya.

11. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir dapat pahala seperti menyapu lantai Baitullah.

12. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah s.w.t. mengizinkannya masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki.

13. Pahala bagi wanita hamil adalah seperti berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malam hari.

14. Wanita yang bersalin akan dapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah swt. akan beri satu pahala haji.

15. Sekiranya wanita itu meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin ia dikira mati syahid.

16. Apabila seorang wanita yang menyusukan anaknya yang menagis diwaktu malam dengan sabar, dia dapat pahala satu tahun sembahyang dan puasa.

17. Kalau wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh 2 suku tahun maka malaikat di langit datang bawa khabar gembira bahawa syurga wajib bagi kamu.

18. Kalau isteri layan suami tanpa khianat dapat pahala 12 tahun solat.

19. Wanita yang picit suami tanpa disuruh dapat pahala 7 tola emas manakala isteri yang picit suami bila disuruh akan dapat pahala 7 tola perak.

20. Wanita yang meninggal dunia dengan dapat keredhaan suaminya, dia akan masuk syurga.

21. Seorang wanita solehah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.

22. Jika suami mengajar satu masalah agama pada isterinya dia akan dapat pahala 80 tahun ibadat.

23. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah swt di akhirat tetapi Allah swt sendiri akan datang pada wanita yang memberati auratnya iaitu yang memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah (tetap).

24. Seorang isteri yang menyambut baik kedatangan suaminya yang dalam keadaan marah, Allah swt beri kepadanya setengah pahala jihad.

25. Allah swt berkati dalam rezeki bila seorang wanita memasak dengan zikir Bismillah.

26. Allah swt akan melaknati wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada lelaki yang bukan muhrimnya.


Kisah tentang seorang wanita yang telah kehilangan seisi keluarganya dalam satu malapetaka tetapi masih lagi tersenyum dan tenang.

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. “Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain ia pasti kerana wanita itu tidak pernah risau dan bersedih hati”, katanya.


Wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, “Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tiada seorang pun yang mengetahui hal ini.”

Abu Hassan bertanya, “Bagaimana hal yang merisaukanmu?” Wanita itu menjawab, “Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, ‘Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?’” Jawab adiknya, “Baiklah kalau begitu.”

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelih leher adiknya itu.
Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana dia telah dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya.

Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua.”

Lalu Abul Hassan bertanya, “Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?” Wanita itu menjawab, “Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka.”

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan teladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi: “Tidak ada balasan bagi hambaKu yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya.”

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: ”Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang.” Dan sabdanya pula, “Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotong baginya pakaian dari wap api neraka.” (Riwayat Ibnu Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.
-

Allah SWT Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.

Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk.

Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.

Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.

Sumber: http://jalanakhirat.wordpress.com/

Wanita yang taat kepada suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat dilangit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama mana ia taat pada suaminya dan diredainya. (hendaklah menjaga sembahyang dan puasanya)

Dari Ibnu Mas'ud bersabda Rasullullah s.a.w.

"Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agamanya, maka Allah memasukkan dia kedalam syurga lebih dulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mendapatnya"

  • Apabila wanita itu mati dalam keadaan suaminya reda (tidak marah) padanya, nescaya dia masuk syurga.
  • Apabila seorang wanita itu melahirkan anak keluarlah ia dari dosa-dosa seperti ibunya melahirkannya.
  • Apabila wanita itu sakit untuk bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala bagi orang-orang yang berjihad ke jalan Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud
  • "Ya Fatimah, jika wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia sungai syurga serta diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian siratul mustaqim"
  • Syurga itu di bawah tapak kaki ibu
  • Wanita yang tinggal di dalam rumah bersama anak-anaknya akan tinggal bersama-sama aku di dalam syurga (boleh keluar rumah kerana perkara yang perlu tanpa mengabaikan anak-anak) 
-

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.

Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman…

SEORANG ISTERI YANG DIUJI

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.

“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.

“Sudah lama?”

“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.

“Puan rasa kecewa, marah?”

“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”

“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.

“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”

“Puan bertindak?”

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”

“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”

“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”

Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.

“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.

Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,”Jika puan tabah, tenang dan kelihatan ‘steady’, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?”

“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.

Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.

“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.

“Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”

Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar… Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.

“Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang… ujian poligami.”

“Puan tidak rasa dieksploitasi?”

“Oh, tidak, “jawabnya dengan tegas, “ tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri…”

“Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya,” pintas saya.

“Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?” Dia kembali kepada permasalahan asalnya.

“Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan.”

“Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini,” balasnya.

“Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi… apakah penyebabnya poligami?”

“Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz.”

“Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba, dan sebab-sebab lain yang tidak syar’ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!”

“Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?”

“Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya.”

“Sunyi juga. Terasa kehilangan.”

“Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!”

“Saya akan kehilangan cinta suami?”

“Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah.”

“Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya ‘pelajar’ yang sedang bermujahadah!”

Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!

“Kekadang datang juga rasa cemburu… bagaimana?” kembali suara itu mengocak lamunan saya.

“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?”

“Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran, dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu.”

“Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri,” dorong saya.

“Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji,” ujar saya perlahan.

“InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan… jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Saya sebak. Kata-kata yang selalu saya luahkan itu menusuk hati sendiri. Seolah-olah buat pertama kali mendengarnya. Ya, hakikatnya Allah sedang mengingatkan saya ketika mengingatkan orang lain. Tabahkah hati menempuh kehidupan yang tidak akan pernah mudah ini?
-

1. Bulu kening.

Menurut Bukhari, Rasullulah s.a.w. melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng.

Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan atau melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng, sama juga seperti pelacur di zaman jahiliyah.

3. Wangian

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal, kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada.

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi.

Rasullulah s.a.w. melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah s.w.t. – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher.

Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu seperti orang jahilliah yang dahulu.

Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan.

Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah s.a.w. dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah s.a.w:

Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja,” – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan.

Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.


9. Mata.

Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad s.a.w;

“Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram,” – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.


10. Mulut (suara).

Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda Rasulullah s.a.w;

Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah s.a.w. akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi,” – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.


11. Kemaluan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan menta'ati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah s.a.w. – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.


12. Pakaian.

Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah s.w.t. akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud:

Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya,” – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.


13. Rambut.

Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya,” – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

kredit: rakangroup

Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih menyedihkan ianya bukan sahaja melibatkan remaja malah lebih ramai di kalangan individu dewasa yang bujang mahupun yang telah berkahwin! Seperti yang pernah penulis kisahkan tentang kecurangan isteri dan balasan yang diterima akibat perbuatan menduakan suami, kini sekali lagi penulis ingin menceritakan azab seksa seorang wanita yang berkahwin tetapi masih melakukan seks bebas.

Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Bomoh Pakar Rawatan Sakit Cinta, En. Idris Zakaria yang kini menetap di Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, Kelantan. Kini beliau bergiat cergas berikhtiar mengubati masalah rumah tangga dan masalah cinta tidak kesampaian, mendapat cerita ini dari kes-kes yang telah diadukan kepadanya. Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran darinya.

Sekadar hiasan

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. Jamilah isteri kepada Husin masih jelita walaupun telah beranak pinak. Beliau pandai bergaya, bertudung litup, berkulit putih dan memiliki bentuk badan yang menarik. Jamilah mendapat sumber kewangan dengan cara berniaga kecil-kecilan iaitu dengan menjual beras seludup dari Thailand bagi membantu suami yang ketika itu hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidak seberapa hanya boleh menampung hidup seharian sahaja.” Jelas En.Idris.

Suami Jamilah Husin berumur 50an ( bukan nama sebenar ) merestui pekerjaan isterinya itu. Husin juga nampak tidak selincah isterinya, beliau berjiwa lembut dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. Semakin lama peranan Husin sebagai ketua keluarga semakin pudar dek ketidaktegasan dirinya terhadap Jamilah yang semakin bebas ke sana ke mari.

Husin baik dan jujur orangnya dan tidak banyak perangai. Jamilah keluar masuk rumah dan melakukan pekerjaan kadang-kadang pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua tidak menjadi masalah pada Husin. Husin percaya akan apa yang Jamilah lakukan demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Ramai wanita sekitar kampung Jamilah melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. Ramai orang mempertikai akan kelebihan Jamilah menampakkan mewah sebegitu. Maka ada beberapa orang yang ingin tahu bagaimana dia bekerja, sedangkan ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah.

Semenjak itu banyak mata yang mengintip setiap pergerakan Jamilah tanpa disedarinya. Pada mula-mulanya rahsia Jamilah terbongkar ketika pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan maka tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.

Namun setelah beberapa jam kemudian nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Beberapa orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras terpaksa dirampas Sikap tidak puas hati rakan-rakan penyeludup lain mula membuak-buak mengapa Jamilah terlepas sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Maka pada suatu hari mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah dengan Pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan meniduri dirinya.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian dapat lagi berita mengatakan Jamilah juga membuat perniagaan sampingan ketika berada di Thailand. Rupa-rupanya Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki Thailand. Maka tidak mustahil Jamilah mampu membeli emas yang banyak.

Maka heboh diceritakan akan kisah Jamilah yang sedemikian rupa, orang ramai tidak hairan dengan kemewahan yang Jamilah miliki malah dicemuhi dan dipandang jijik terhadapnya oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Tergamak Jamilah melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata mencari sedikit kemewahan. Husin telah diberitahu gejala isterinya itu namun Husin tidak percaya cerita sedemikian dan membuat tidak tahu sahaja.

Husin yang sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. Husin hanya berserah pada Allah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

Selang beberapa tahun kemudian Jamilah diserang sakit kepala lalu demam dan jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing untuk beberapa kali kurang daripada sepuluh salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan matanya terbeliak manakala lidahnya terjelir. Ahli keluarga yang berkumpul turut merasa pelik akan kelakuan Jamilah menyalak sebelum menghembuskan nafas terakhir dan mati dalam keadaaan yang sebegitu.

Upacara kematian seperti biasa orang kampung lakukan bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali tibalah masa untuk dikebumikan. Sebaik sahaja jenazah Jamilah dimasukkan ke liang lahad tiba-tiba didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk menyimpan mayatnya. Mayat Jamilah diukur semula dan liang lahad di panjang sekali lagi namun masih tidak cukup panjang lagi. Diulangi kali ketiga dipanjangkan lagi liang lahad itu pun begitu juga masih tidak cukup panjang. Satu kejadian luar biasa telah berlaku mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.

Sekadar hiasan
Setelah semua keluarga pulang ke rumah tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat ibu saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak, bermakna kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” Husin agak terganggu memarahi anak perempuannya itu namun terpaksa memanggil penggali kubur di situ agar menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula, alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin termasuk diri saya sendiri melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. Husin mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi diakhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita nescaya dosanya amatlah besar.

Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah.


Posted by Shafiq Mujahid
-
"Keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Allah SWT kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

1 ) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

2 ) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

3 ) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

4 ) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.


Oleh: Azlan Mohamad