Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam jiwa manusia terdapat dua sifat utama iaitu sifat positif dan negatif. Jika sifat positif mendominasi atau mempengaruhi jiwa manusia maka akan melahirkan banyak sifat-sifat mahmudah, tetapi sebaliknya jika sifat negatif banyak menguasai jiwa manusia maka ianya akan melahirkan pula sifat-sifat mazmumah.
Salah satu sifat mahmudah adalah sifat pemaaf dan lawan daripada sifat ini adalah sifat pemarah dan pendendam.
Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).
Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )
Apabila seseorang itu memiliki sifat pemaaf sebenarnya itu adalah tanda hatinya bersih dan tenang. Sebenarnya bukanlah mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.
Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.
Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43).
Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.
Cuba bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi? Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.
Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.
Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.
Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pergaduhan.
Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah SWT mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.
Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan. Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah SWT akan mudah mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan orang kafir yang menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.
Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat, banyak berzikir dan membaca al-Quran. Dengan kekuatan iman dan takwa secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.
Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.
Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?
Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.
Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita tanamkan pada hati dan jiwa kita sifat pemaaf, kerana sifat pemaaf adalah sifat ahli-ahli syurga sedang sifat pemarah dan pendendam adalah sifat ahli-ahli neraka. Dari sifat pemarah dan pendendam akan melahirkan sifat hasad dengki, irihati , sombong, bongkak dan takbur.
Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan telah selesai.
Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya samaada ketika kita hidup di dunia maupun kehidupan dihari akhirat.Allah SWT akan memaafkan kesalahan dan dosa kita di akhirat nanti jika di dunia kita sentiasa memaafkan kesalahan orang lain.
ILMIAH
Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.
Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.
“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,
Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.
Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga
Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.
Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.
Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!
Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,
Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.
Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.
Hari ini iman menjadi saksi,
Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.
Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!
Kasihanilah iman,
Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!
"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"
Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.
Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!
Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!
Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!
wallahua'lam. .....
ILMIAH
Ya Allah,kenapa berat sekali dugaan yang Engkau berikan kepadaku Ya Allah..
Apa dosaku sehingga aku diuji sehebat ini..
Aku tidak tahan Ya Allah..aku tidak sanggup lagi Ya Allah..
Mungkin sahabat sahabiah sekalian pernah terdetik sebegini dalam hati tatkala diri dilanda badai ujian..berbagai ujian yang Allah swt uji ke atas umatNya seperti harta, kehilangan nyawa dan sebagainya..Namun..pernahkah kalian semua berfikir,apa hikmah di sebalik semua ujian2 ini?..
- Untuk membersihkan dan memilih, yang mana orang mukmin yang sejati dan yang mana orang2 munafik
- Untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa
- Untuk menguji sejauh mana ketaatan dan kesabaran hambaNya
- Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia, sehingga menjadi umat yang berbudi tinggi
- Sebagai latihan..supaya manusia terbiasa menerima berbagai ujian, dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendirian..
"Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
daripada ayat di atas..ketahuilah bahawa Allah swt itu tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita..betapa sayangnya Allah swt kepada hambaNya..
tetapi kita asyik mengeluh, merungut dan berputus asa..sedangkan Nabi Muhammad saw diuji dengan ujian yang lebih hebat dari kita..namun Baginda tetap bersabar..
Di mana pertolongan Allah swt? ketahuilah bahawa pertolongan Allah swt itu dekat selagi kamu berpegang pada Agama dan Bersabar dengan segala ujian..(Albaqarah:214)
"Aku minta kepada Allah swt setangkai bunga segar namun diberiNya aku kaktus yang berduri. Aku minta rama-rama, diberiNya aku seekor ulat. Aku kecewa dan sedih, tapi tetap bersabar.. Namun tidak lama kemudian kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itu menjadi rama-rama yang begitu cantik..Rupanya begini cara Allah swt mengasihi dan mendidik hambaNya"
ILMIAH
Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…
1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)
5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah,
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.
Sebahagian orangapabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).
6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.
8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)
Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim.
Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah?
ILMIAH
Oleh: Ustazah Nik Norliza binti Mustapa
Situasi A
”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya, tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak ada”
Situasi B
”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.”
Situasi C
”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.”
Apakah penanda aras bagi kejayaan?
Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita kata mahu jadi manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah dalam berfikir.
Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah diri.
Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian.
Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahuinya.”Persoalannya sudah tentu berkaitan dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi.”
Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri orang yang beriman yang mesti ada pada kita.
Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan tidak sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.....
Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman dapat dikatakan sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar."
Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, dijamin akan berjaya kerana mereka dijanjikan jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati. (lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa akan gagal dalam kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT.
Bicara tentang Ilmu Pengetahuan
Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah lagi, adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (berilmu)...,”
Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami sesuatu perkara seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan. Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia jdapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.
Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan, ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan menggunakan ”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109 bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
Bicara tentang Pembersihan Jiwa
”Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya” layakkah kita untuk berkata begitu? Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan izin Allah jika kita tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud,”Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya.
Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita, diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih seperti kain putih bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar.
Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup tidak sia-sia. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa.
Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu, pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa ilmu adalah kosong.
Solusi Menuju Kejayaan
Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua kaliyang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati, bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan, kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya dari fikir dan fikir kita akan temukan jawapan, kita ingin menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki. Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini?
*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian.
ILMIAH
Kematian adalah rehat daripada kedukaan dunia
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin
SOALAN: Saya seorang saudara baru yang baru sahaja kehilangan suami yang dikasihi dalam usia terlalu muda. Beliau seorang yang bertanggungjawab, prihatin, pengasih, mendidik kami dan selalu berjemaah ketika berada di rumah.
Tidak lama selepas pemergiannya, saya mula sakit hingga sekarang. Terasa dunia ini tidak bercahaya, malap seumpama kubu yang menyerkup kepala. Saya tabah menghadapi hidup ini, tetapi saya berasa lebih tenang ketika berada di pusaranya.
Saya tidak sedar yang saya sedang merintih hampir lebih daripada satu jam. Saya tahu, tidak elok saya selalu berbuat demikian, tetapi hanya itulah yang boleh saya lakukan untuk mengembalikan tenaga dan kekuatan.
Adakah suami saya menyedari rintihan saya setiap hari? Adakah dia bergembira sekarang atau dia juga terlalu kesunyian rindu keseorangan.
Zainab, KK.
JAWAPAN:
Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum itu malaikat tidak tahu.
Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing. Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang, tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar ketentuan Allah.
Apabila nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim salam padamu.''
Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, ``selamatlah kamu.''
Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit.
Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman.
Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya, datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi, ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat al-Barra.
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga.
Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian.
Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya.
Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi.
Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan.
Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah.
Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan syurga baginya.
Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona.
Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang diperlihatkan kepadanya.
Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga.
Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan.
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah''
Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain.
Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur. Kerana itu, persoalan sama ada roh suami puan sekarang dalam keadaan gembira atau terlalu kesunyian merindukan puan tidak timbul sama sekali.
Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia, adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim.
Begitulah keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke dalam rahim ibunya.
Gambaran nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya.
Ibn Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha: Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya: Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali kepada Allah subhanahu wa taala.
Mati bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat, termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut.
Berdukacita, merintih rindu tidak berupaya merobah keadaan biar sedikit pun. Allah mengasihi suami puan dan mengambilnya lebih awal dalam dakapan kasih-Nya. Allah lebih mengetahui untuk membalas hamba yang dikasihi-Nya, lebih daripada apa yang puan boleh lakukan untuknya, kerana Allah itu Maha Pengasih Lagi Penyayang yang tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang manusia.
Suami puan tidak keseorangan didakap rindu kerana meninggalkan dunia yang penuh dengan pelbagai dukacita. Zaid bin Aslam pernah memberitahu, ``apabila seorang mukmin itu didatangi waktu hampir mati, akan diucapkan kepadanya, jangan kamu takut terhadap peristiwa yang akan berlaku, di mana ketakutan pasti terhapus.
``Jangan dukacita terhadap dunia dan penghuninya, iaitu keluargamu. Gembirakan dengan nikmat syurga, di mana segala kebimbangan akan lenyap. Jangan berdukacita, kamu pasti akan meninggalkannya, padahal ketika itu, iaitu sebelum meninggal, Allah telah pun menenangkan hatinya.''
Ad-Dhaaak menjelaskan bahawa kegembiraan itu diketahui oleh mereka yang beriman sebelum roh berpisah dari badan dan mereka telah mengetahui di mana mereka akan berada, iaitu di syurga.
Tidak mudah mengikis rasa rindu kehilangan orang yang dikasihi. Demikianlah di antara tanda-tanda kasih sayang. Tidak mudah memujuk kesunyian hilang teman, hilang tempat bergurau senda dan mengadu kasih, tempat harapan. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Walaupun demikian, kalau setiap orang itu berupaya memikiri tentang ketetapan Ilahi, qadak dan qadar ketentuan Allah, kesedaran akan timbul, bahawa tidak ada manusia yang berupaya mengubah ketentuan-Nya. Allah Maha Mengetahui rahsia yang tidak terungkai oleh pemikiran manusia di atas ketetapan-Nya.
Sesungguhnya di sebalik rindu dan rasa hampa, tenaga, masa dan pelbagai usaha tetap diperlukan untuk menghadapi sisa-sisa hidup yang masih tidak menentu. Kerana itu usaha memperoleh tenaga dan rintihan terhadap orang yang telah pergi adalah sesuatu yang sia-sia
ILMIAH
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)