Ads

Random Posts

Powered by Blogger.

BERITA

SUDUT ILMIAH

POSTER

PHOTO

Racing

News

POSTER

» » » “Aku Masih Belum Mampu Menjadi Wanita Solehah”

“Aku masih belum mampu menjadi wanita solehah”

Begitulah luahan seorang sahabatku pada suatu malam. Aku terdiam seketika, terpana. Mustahil aku tidak pernah merasakan sedemikian.

Kadangkala terdetik juga rasa cemburu apabila melihat mereka yang lain, yang terserlah peribadi dan perwatakannya yang cukup menggambarkan ciri seorang wanita solehah.

Mendengarkan kisah-kisah srikandi Islam suatu masa dahulu, aku berasa malu.

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah,
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabillah,
Penawar hati kekasih Allah,
Susah dan senang rela bersama.

Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijak,
Pendorong dikala kesusahan dan penderitaan,
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir air mataku,
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah,
Akur dalam setiap perintah,
Taat pada abuyanya yang sentiasa berjuang,
Tiada memiliki harta dunia,
Layaklah ia sebagai wanita penghulu syurga.

Sanggupkah aku menjadi ibu seperti Khansa'?
Rela menyerahkan anak-anaknya ke medan pertempuran,
Biarpun darah menjadi penggantinya,
Asalkan syahid menjadi habuan.

Aku belum mampu menjadi seperti mereka. Namun, ada apa jika aku terus berasa sedemikian sahaja? Hanya cemburu dan mengatakan aku tidak mampu? Tidak!

Aku mula belajar sesuatu kini. Tidak ada istilah mampu atau tidak mampu. Yang ada Cuma MAHU atau TIDAK MAHU.

Ukhti, daripada sudut apa engkau menggambarkan wanita solehah itu? Adakah daripada dia memakai jubah dan tudung labuh? Adakah daripada banyaknya ibadah yang dia lakukan? Adakah daripada perlakuannya yang tidak memandang ajnabi? Dan, adakah daripada sifat-sifat lain yang engkau lihat pada dirinya?

Ukhti, bagiku itu semua hanyalah luaran, yang zahir. Hakikatnya, Allah lebih mengetahui sesolehah manakah seseorang itu. Bukankah Allah telah berfirman:

“Sungguh, Aku menetahui apa yang tidak kamu ketahui”
-Al-Baqarah; 30-

Aku tertarik sekali dengan kata-kata ini. Renungkan sejenak.

Muslimah sejati tidak dilihat dari jilbabnya yang anggun, tetapi dilihat dari kedewasaannya dalam bersikap.

Muslimah sejati tidak dilihat daripada banyaknya dia berorganisasi, tetapi sebanyak mana dia telah menjalankan amanah.

Muslimah sejati tidak dilihat dari kehadirannya dalam syuro (mesyuarat), tetapi dilihat dari penglibatannya dalam mencari solusi tentang suatu permasalahan.

Muslimah sejati tidak dilihat dari tasnya yang selalu membawa al-Quran, tetapi dilihat dari hafazan dan pemahamannya akan kandungan al-Quran tersebut.

Muslimah sejati tidak dilihat tundukan matanya ketika berinteraksi, tetapi bagaimana dia mampu membentengi hati.

Muslimah sejati tidak dilihat dari penglibatan dalam menjalankan kegiatan, tetapi dilihat dari keikhlasannya bekerja.

Muslimah sejati tidak dilihat dari solatnya yang lama, tetapi dilihat dari kedekatannya pada Rabb di luar aktiviti solatnya.

Muslimah sejati tidak dilihat dari kasih sayangnya pada orang tua dan teman-teman, tetapi dilihat dari besarnya kekuatan cintanya pada Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Muslimah sejati tidak dilihat dari rutin dhuha dan tahajjudnya, tetapi sebanyak mana titisan air mata penyesalannya sewaktu bersujud.

Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan paras wajahnya, tetapi dilihat dari kecantikan hati yang ada di sebaliknya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari bentuk tubuhnya yang mempesona, tetapi dilihat dari sejauhmana dia menutupi bentuk tubuhnya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari begitu banyaknya kebaikan yang dia berikan, tetapi dari keikhlasan dia memberikan kebaikan itu.

Muslimah sejati bukan dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.

Muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian, tetapi dilihat dari sejauhmana dia berani mempertahankan kehormatannya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuatirannya digoda orang di jalan, tetapi dilihat dari kekhuatiran dirinyalah yang mengundang orang jadi tergoda.

Muslimah sejati bukan dilihat dari besar dan banyaknya ujian yang dia jalani, tetapi dilihat dari sejauhmana dia bersabar menghadapi ujian itu dengan penuh rasa syukur.

Dan ingatlah, muslimah sejati bukan dilihat dari petahnya dia dalam pergaulan, tetapi dilihat dari sejauhmana dia bisa menjaga kehormatan dirinya di dalam bergaul.

Oleh itu ukhti, apa yang harus kita lakukan adalah berusaha ke arah title solehah itu. Tidak! Bukan title semata, namun ke arah definisi solehah yang sebenarnya. Yakni lebih dekat dengan-Nya.

Namun, jadilah dirimu yang sebenar-benarnya bukan hanya ikut-ikutan. Percayalah. Andainya kita hanya ikut-ikutan perbuatan orang lain semata, ia tidak mendatangkan apa-apa hasil. Hati kita akan tetap terasa kosong. Yang ada hanyalah penipuan terhadap diri kita sendiri.

Kerana, menjadi solehah itu bukan ikut-ikutan. Mereka menutup aurat, kita menutup aurat. Mereka beribadah, kita turut beribadah. Mereka ke kuliah agama, kita turut menutur langkah mereka. Bukan begitu ukhti.

Semuanya perlu bermula daripada hati kita sendiri. Nawaitu kita sangat penting. Untuk apa kita berubah itu? Adakah benar untuk menggapai redha-Nya atau hanya untuk dipandang sebagai wanita solehah? Semak semula nawaitu kita. Kerana kadangkala kita mungkin tersilap.

“hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan”

Sesungguhnya hadis yang pertama juga membicarakan soal niat. Menunjukkan betapa pentingnya ia.

Ukhti, sesungguhnya aku bukanlah yang terbaik untuk menasihatimu walhal aku sendiri masih terkontang kanting dalam usaha untuk mengubah diri.

Pesanku, usahlah engkau berasa tertekan dengan soal ini, untuk menjadi solehah itu bukan mudah. Ia mengambil masa. Lakukanlah sedikit demi sedikit, tetapi istiqamah.

Mohonlah pada-Nya agar ditetapkan hati kita dalam kebaikan yang kita laksanakan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Mukmin, ayat 60 :

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Akhir kata, jangan cepat menghina diri dan kecewa sebelum berusaha memenuhi masa lapang yang ada sehingga terlalu banyak masa untuk meghina diri sendiri. Niatkan semua amal perbuatan itu hanya kerana Allah dan jangan pernah mengharap pujian daripada orang lain.

Jadilah seperti tanah yang tidak pernah mengeluh putus asa terhadap bangunan yang di atasnya walaupun bangunannya lapuk dimakan zaman.

Selamat berusaha membangunkan diri!

Mudah-mudahan kita mendapat title solehah itu di sisi-Nya, Insya Allah.

hasil nukilan
http://pelangigenius.blogspot.com

About SURAU AL-HUSNA, TAMAN SELASIH GOMBAK

Blog Surau AL-Husna DiBina oleh AJK ICT Surau Al-Husna, Taman Selasih Fasa 1, Gombak Selangor. Semoga dengan ada Blog ini menjadi tempat Informasi Aktiviti-Aktiviti Surau serta Boleh mendalami ilmu-ilmu agama dan juga pelbagai info.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments

Leave a Reply