Ads

Random Posts

Powered by Blogger.

BERITA

SUDUT ILMIAH

POSTER

PHOTO

Racing

News

POSTER

» » Coretan Perjalanan Haji 1432H Sdr Zaizul Azizi (Ajk Musolla)


HAJJ 1432H: Nota Pembukaan

Saya terpanggil untuk menukilkan coretan saya sepanjang perjalanan ke dua tanah haram ini, pada mulanya cuma sekadar catatan peribadi, agar segala perkara yang saya lalui tidak sekadar terpadam, dan sedikit demi sedikit luput dari ingatan.

Perjalanan haji, umrah dan ziarah ini saya lalui bersama jutaan umat manusia pada musim ini. Walaupun ibadat haji itu adalah sama dari segi rukun, wajib dan segala manasiknya, tentunya setiap tetamu Allah akan memperoleh pengalaman yang berbeza, pengajaran yang pelbagai dan melihat setiap perkara melalui perspektif peribadi yang tentunya unik dan tersendiri.

Saya kongsikan coretan pengalaman saya ini dengan harapan supaya ada manfaat yang bakal diperoleh oleh sekalian pembaca.

Buat mereka yang masih tertunggu-tunggu peluang mereka menjadi tetamu Allah, diharapkan coretan ini akan membantu persediaan kalian, terutama dari segi minda, ilmu dan rohani, agar dapat membangkitkan semangat kalian untuk ke tanah suci, dan membulatkan azam kalian untuk mengerjakan fardhu haji.

Buat rakan2 yang telahpun mengerjakan haji, semoga coretan ini juga bermanfaat buat kalian, membangkitkan kenangan manis di tanah suci dan menguatkan keazaman untuk terus iltizam dan istiqamah dalam usaha mengekalkan kemabruran haji.
Akhirnya kepada Allah lah kembali segala puji-pujian, atas segala nikmat dan rahmat-Nya yang tidak putus-putus dan tidak terkira banyaknya.

Ibadah Haji: Peluang Penghapusan Dosa

Allah subhaanahu wata’aala yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah telah menganugerahkan kepada umat manusia sekian banyak peluang untuk mendekatkan diri dan kembali kepada-Nya. Dalam sehari, Allah menyediakan solat lima waktu sebagai sebagai “checkpoint-checkpoint” utama untuk memastikan setiap hamba mengingatinya. “Wa aqimi as-solaatu lizikri”; dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. Solat memastikan bahawa setiap hamba tidak tersesat dalam perjalanan hidup sehari-hari, sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran, “sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar”.
Demikianlah juga Allah mewajibkan solat jumaat pada setiap hari jumaat, penghulu segala hari sebagai satu agenda mingguan yang penting untuk umat Islam sepanjang zaman. Demikianlah juga Allah jadikan bulan Ramadhan dengan peluang mendapat pahala berganda-ganda dalam setiap tahun.

Lima waktu setiap hari.
Hari Jumaat setiap minggu
Bulan Ramadhan setiap tahun
Demikian peluang silih berganti
Untuk Sang Hamba mengabdi diri
Maka kemuncaknya adalah Haji
Setiap dosa akan diampun
Bagai kelahiran semula dari perut Sang Ibu!

Teringat saya pertanyaan seorang rakan sekerja berbangsa Cina kepada saya beberapa hari sebelum saya berangkat ke tanah suci; “Kenapa awal sangat nak pergi haji, biasa orang kata enjoylah life dulu, baru pergi haji!” Saya kurang pasti dari mana persepsi sebegitu diperolehi oleh rakan sekerja saya itu.

Hakikatnya haji yang mabrur seolah-olah satu peluang kelahiran semula, tiada dosa seumpama ketika keluar dari perut ibu. Satu permulaan baru dalam hidup ini. Itu lah yang betul-betul saya harapkan. Satu kelahiran semula.

Saya teringat kisah pengislaman Amru bin Al Ash yang disampaikan dalam salah satu sesi kuliah yang disampaikan oleh Ust Abdul Halim Abdullah ketika di tanah suci. Amru bin Al Ash adalah salah seorang sahabat yang lewat memeluk Islam, malah pernah memusuhi Islam. Beliau adalah di kalangan cerdik pandai dan bangsawan Quraisy. Beliau terlibat pernah berperang melawan tentera muslimin dalam Perang Badar, Uhud dan Ahzab. Beliau juga adalah utusan orang Quraisy yang telah berjumpa dengan Raja Najashy (Negus) di Habsyah meminta supaya Raja itu menghalau Orang Islam yang diketua Jaafar bin Abi Talib yang berhijrah ke Habsyah dan meminta perlidungan di situ, akibat penindasan orang-orang Quraisy di Mekah. Namun, di sebalik dosa-dosa menentang kaum muslimin itu, Amr akhirnya tertarik untuk memeluk Islam, bersama-sama Khalid bin A-Walid dan Uthman bin Thalhah. Mereka bertiga berkunjung ke Madinah dalam tempoh gencatan senjata selepas Perjanjian Hudaibiah.

Sebaik sahaja Khalid bin Al-Walid memeluk Islam, Rasulullah menghulurkan tangan kepada ‘Amr untuk berjabat tangan. ‘Amr pada mulanya kelihatan menghulurkan tangan namun menarik balik tangannya, lalu berkata beliau akan hanya masuk Islam dan berbai’ah dengan Rasulullah dengan satu syarat; supaya semua dosanya diampunkan. Lalu Rasulullah bersabda “Tidakkah kamu tahu bahawa Islam menghapuskan setiap dosa terdahulu?” Rasulullah meneruskan lagi bahawa Hijrah juga menghapuskan dosa-dosa, Haji juga menghapuskan dosa-dosa terdahulu. Kisah ini diceritakan dalam Shahih Muslim dan juga Musnad Imam Ahmad.

Inilah satu janji besar yang menunggu mereka yang mengerjakan haji.
Selain daripada itu banyak lagi peluang untuk menghapuskan dosa sebagai mana maksud hadith; “Al-umratu ila al-umratu kaffaratun bainahuma, wa al-hajju al-mabruur laisa lahu jazaan illa al-jannah”. Antara umrah ke umrah adalah penghapus dosa, dan haji yang mabrur, tiada balasan selain Allah.

Allahummaj’alna hajjan mabruuro, wasa’yan masykuuro, wa zamban maghfuuro, wa’amalan sholihan maqbuula, watijaaratan lan tabuur… Amiin ya Rabb

December 17, 2011

Petang itu merupakan petang terakhirku di masjid nabawi. Aku berazam untuk solat di saf pertama buat pertama kali. Seusai solat asar, aku terus melangkah menuju ke saf pertama, di hadapan ruangan raudhah yang tidak sunyi dari manusia, berdekatan dengan tempat solat jenazah. Alangkah pilunya pabila mendapati saf pertama telah hampir penuh. Kalau ada ruang pun sudah bertanda, sama ada dengan sejadah, rehal mahupun igal. Aku duduk di saf kedua, dengan harapan ada orang yang akan beredar apabila selesai berzikir.

Saat-saat akhirku di sini kurasakan amat berharga, lalu segera aku memulakan zikir ma’thurat dan diikuti dengan tilawah al-quran. Saf hadapanku masih penuh, tiada yang beredar. Ruang-ruang bertanda juga mula dipenuhi sipemilik tanda-tanda itu.

Makanan berbuka puasa mula dihidangkan untuk mereka yang berpuasa sunat hari khamis. Seingat aku, dalam minggu ini setiap hari ada disediakan juadah berbuka untuk mereka yang berpuasa sunat, bermula dengan puasa sunat hari isnin yang juga jatuh pada tanggal 9 Muharram, diikuti hari asyura pada 10 Muharram dan 11 Muharram yang jatuh pada hari Rabu. Sungguh jelas bahawa sunnah berpuasa sunat ini begitu diamalkan sambil mereka berebut-rebut mencari pahala tambahan, menyediakan makanan untuk berbuka.

Waktu maghrib hampir tiba. Tempat disebelah kananku diminta dikosongkan untuk memberi ruang kepada ahli keluarga jenazah. Azan maghrib berkumandang diikuti dengan  juadah berbuka puasa yang ringkas. Solat maghrib terakhirku di masjid nabawi aku kerjakan di saf kedua. Di dalam kecilku, aku terus berdoa untuk dapat solat di saf pertama. Mungkin untuk solat isyak nanti. 

Teringatku kata-kata mutawwif kami siang tadi yang melafazkan sebuah hadith yang lebih kurang maksudnya, “andai manusia mengetahui kelebihan solat di saf pertama, nescaya mereka akan berebut-rebut mendapatkannya.” Mungkin rezekiku bersolat di saf pertama belum tiba.
Sesudah solat maghrib, solat jenazah dan solat sunat ba’diah, kutinggalkan tempat dudukku untuk ke tandas dan memperbaharui wudhuk. Harapanku untuk solat di saf pertama makin tipis apabila tempat di saf kedua itu terpaksa kutinggalkan.

Solat Isyak terakhir….
Aku berjalan masuk ke Masjid Nabawi untuk solat isyak yang terakhir di sini. Malam ini aku akan bertolak pulang setelah hampir sembilan hari di Kota Suci Madinah. Aku masuk melalui Bab As-salam, yang selalunya sesak dengan mereka yang mahu menziarahi maqam Rasulullah. Aku terus menuju saf-saf yang paling hadapan. Seperti solat maghrib tadi, kebanyakan ruang telah berpunya. Aku terus berdoa dan berharap. Semoga Allah takdirkan yang terbaik untukku. Akhirnya aku duduk di saf ketiga.

Tiba-tiba, seorang jemaah di hadapanku yang tadinya khusyuk membaca al-quran bangun dan meletak mushaf Al-Qurannya di atas rak, lalu berlalu pergi. Baru sahaja aku hendak bangun dan duduk di ruang kosong itu, masuk seorang sheikh bertongkat dua. Dia terus menuju tempat kosong tadi, lalu menguiskan tongkat kirinya kepada seorang jemaah yang duduk berhampiran dengan tiang, sambil mengisyaratkan supaya tongkatnya di sandarkan ke tiang tersebut. Sambil bersandar kepada sebelah lagi tongkat di kanannya, sheikh tadi terus menunaikan dua rakaat solat sunat.
Mataku yang sejak tadi asyik memerhatikan sheikh tadi mula berlinangan dengan air mata. Bagaimana seorang tua berkaki satu, yang mana kaki kanannya kudung pada paras pangkal peha tidak menguzurkan diri daripada solat di masjid.

Usai solat sunat, sheikh tua berkaki satu tadi duduk sambil tongkatnya terjulur ke saf kami. Apabila azan isyak berkumandang, seorang tua disebelahku mula tidak senang apabila ruang sujudnya terhalang dengan hujung tongkat tadi. Dia meminta supaya tongkat itu dialih dan disandar di tepi tiang. Mungkin sangkanya, sheikh tua berkaki satu akan terus solat dalam keadaan duduk tanpa memerlukan tongkat. Sesudah azan, sheikh tua berkaki satu terus bangun untuk solat sunat dua rakaat.

Setiap gerakan solatnya tidak terlepas dari pandangan mataku. Aku takjub, tiada satu rukun pun yang dilakukan melainkan semuanya sempurna, meskipun dengan segala susah payah dengan bertopangkan satu tongkat.

Linangan airmataku berterusan sepanjang solat isyak, solat jenazah dan solat sunat ba’diah. Semuanya dikerjakan dengan sempurna oleh sheikh berkaki satu tadi. Inilah solat-solat yang kurasakan betapa banyaknya nikmat yang Allah telah kurniakan selama ini, sambil aku bertanya kepada diriku, dengan nikmat sebanyak ini, sudah berapa banyak solat fardhu yang tidak kukerjakan di masjid dengan berjemaah?

Bila tiba masa sheikh tadi berlalu pergi, dia bangun dan berpusing ke belakang. Aku segera mencapai sebelah lagi tongkatnya yang tersandar di tiang lalu kuhulurkan padanya. Ku perhatikan wajahnya yang tersenyum, tiada tanda kesusahan, kepayahan, kepenatan atau kesesalan terhadap nasib dirinya. Ku peluk sheikh tadi lalu kudengar ucapan doa dari mulutnya “baarakallahu fiik”. Air mataku terus bercucuran.

Wallahi, inilah tazkirah terbaik sebelum ku berlalu pergi meninggalkan masjid ini. Kalaulah sheikh arab berkaki satu tidak menguzurkan dirinya daripada solat fardhu di masjid, dengan sempurna setiap rukunnya, tanpa meninggalkan solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat qabliah dan ba’diah, apa alasan yang bakal aku ajukan di hadapan Allah nanti, bila ditanya apa yang kau telah kerjakan dengan anggota badanmu yang sempurna itu?

Aku menanam azam untuk terus istiqamah dengan solat fardhu berjemaah di masjid. Terngiang-ngiang sepotong lagi hadith Rasulullah bila ditanya oleh sahabat yang sakit, apakah dia juga perlu ke masjid untuk solat berjemaah? Apa jawab Rasulullah? Seandainya ada dua orang yang boleh memapahmu ke masjid, maka solatlah di masjid.



Kaabah daripada tingkat paling atas Mas'aa (tempat Sa'ei) pada waktu fajr sehari sebelum wuquf

 25 November 2011:


 Hari itu adalah hari Jumaat terakhir saya di bumi Makkah Al-Mukarramah. Suasana semakin sayu, bila mengenangkan saya bakal meninggalkan bumi penuh barakah ini. Bumi ini barakah dengan doa Nabi Ibrahim: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku sudah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.“Wahai Tuhan kami, dengan demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, 14; Ayat 37)

Saya telah mempelawa Cg Alias dan isterinya yang juga seorang bekas guru (Cg Zainab) untuk naik ke tingkat 3 masjidil haram atau lebih biasa disebut “rooftop”. Cg Alias berumur 72 tahun dan isterinya telah 3 kali menunaikan fardhu haji. Beliau naik haji kali pertama pada tahun 1981 ketika berusia lebih kurang 40 tahun, kali ke-2 pada tahun 2000 pada usia lebih kurang 60 tahun. Katanya; “ketiga-tiga kali haji memberi pengalaman yang berbeza, yang kali ni susah nak dapat tengok kaabah sebab kena tawaf di laluan kerusi roda atau di tingkat paling atas.” Dari perbualan inilah saya mengajaknya solat subuh di rooftop, di saf paling hadapan dengan kaabah dapat dilihat terus walaupun dari kejauhan.

Pagi itu saya berjalan ke Masjid agak lewat, lebih kurang jam 4.45 sedangkan Azan pertama sudah dilaungkan lebih kurang jam 4.15, iaitu sejam sebelum masuk waktu subuh. Alangkah terkejutnya saya apabila saya mendapati Cg Alias dan isterinya sedang menunggu saya di sofa di lobi hotel. Saya tidak menyangka beliau begitu bersungguh-sungguh menerima pelawaan saya pada malam sebelumnya. Katanya, mereka berdua telah bangun seawal jam 3.30 pagi kerana tidak mahu terlepas ajakan saya. Tambahan pula, kami saling tidak menyimpan nombor telefon masing-masing. Kami cuma berbicara bila bertemu di dewan makan kami.

Kami berjalan dalam dingin subuh menuju escalator untuk naik ke rooftop. Kira-kira seminggu sebelum hari haji sehingga ke seminggu selepasnya, sudah tentu kami tidak akan dapat masuk ke Masjid seandainya kami keluar pada waktu itu. Jalan-jalan yang kami lalui ini sudah tentu telah penuh dengan saf para jemaah yang sedang menunggu waktu subuh, sambil bersolat sunat, berzikir dan membaca al-quran.

Suasana fajar di rooftop amat dingin dengan angin sejuk sepoi-sepoi bahasa. Suasana di sini semakin lengang kerana ramai jemaah haji telah pun pulang ke tempat asal masing-masing. Saya cukup menyukai suasana rooftop yang agak sunyi walaupun ketika orang ramai memenuhi setiap ruang saf. Terasa diri ini bergitu kerdil berada di kalangan jutaan manusia, dengan berbumbung kan langit yang gelap yang seakan tiada sempadannya. Di hadapan kami kelihatan Kaabah yang tidak henti-henti dikelilingi manusia sedang bertawaf. Satu keajaiban dalam dunia ini. Satu bongkah segiempat yang begitu simple, begitu diagungkan oleh umat manusia. Tidak ada saat yang berlalu melainkan ada sahaja orang yang bertawaf. Kalau berhenti pun cuma beberapa minit ketika solat jemaah lima waktu. Sebaik sahaja selesai solat, ada sahaja yang terus bangun dan menyambung tawaf.

Kaabah di tengah-tengah jutaan umat manusia
Permandangan dari atas, menyaksikan ribuan, bahkan jutaan manusia bersolat dan bertawaf di sekliling kaabah sangat memberikan kesan dalam hati. Terpahat rasa kebesaran Allah yang Esa, kekerdilan diri ini dihadapan-Nya, kesatuan umat sekalipun dengan segala bentuk kepelbagaian luaran dan dalaman bila semuanya berada di hadapan Kaabah. Berada di bawah langit tanpa bumbung memberikan perasaan bahawa rahmat Allah begitu luas, terasa Maha Kuasa Allah mendengar rintihan hati setiap hambanya, terasa bahawa pintu rahmat seluas langit itu terus terbuka, menanti doa dan taubat setiap hamba.

Kami tiba di “rooftop” dan segera mencari ruang di saf hadapan. Saya pastikan tiada apa yang menghalang pandangan kami daripada melihat Kaabah. Isteri saya pula mengiringi Cikgu Zainab duduk di saf belakang bersama beberapa orang wanita yang lain. Saya berpesan kepada isteri saya supaya mengiringi Cikgu Zainab datang ke hadapan setelah jemaah mula beredar setelah selesai solat subuh.

Azan subuh berkumandang diikuti dengan solat sunat dan solat subuh. Solat subuh hari itu setenang subuh-subuh yang lain. Daripada tempat kami berdiri, jelas kelihatan Imam yang mengetuai solat di sebelah pintu Ka’abah. Seperti biasa, bacaan solatnya berkumandang melalui sistem pembesar suara yang cukup baik kualitinya. Selesai solat, ramai jemaah segera beredar dari tempat masing. Itu kebiasaan yang saya lihat di sini, kerana kebanyakan mereka telah pun berada di tempat duduk masing-masing beberapa jam sebelum subuh lagi.
                                                             (gambar saf solat)
Para jemaah sedang bersedia untuk solat Subuh (gambar diambil sejurus sebelum solat)
Kami mengambil tempat rapat ke pagar, supaya Kaabah kelihatan dekat tanpa sebarang halangan. Kami duduk di situ sambil berzikir dan berdoa. Menjadi kelaziman, masa lapang sesudah solat subuh itu saya isikan dengan zikir ma’thurat kubra. Kalau di tanah air, jarang sekali berpeluang membaca zikir ma’thurat kubra ini.

Saya selalunya menghabiskan masa antara antara solat subuh hingga ke Dhuha di situ, dengan di isi dengan zikir dan memerhatikan gelagat manusia yang terus tekun bertawaf. Dari tempat itu juga jelas kelihatan hiruk-pikuk mereka yang berlum-lumba mencium Hajar Al-aswad. Sesekali kelihatan kumpulan-kumpulan tertentu yang tawaf secara berkumpulan, dengan pakaian yang seragam supaya dapat di cam setiap ahlinya.

Teringat saya beberapa hari yang lalu, ketika duduk di rooftop ini bersama isteri sementara menunggu dhuha. Tiba-tiba, saya di sapa seorang lelaki yang sejak dari tadi kelihatan khusyuk membaca al-quran tidak jauh dari tempat saya duduk. Ruang antara kami boleh memuatkan seorang lagi jemaah. Dia bertanya apa yang sedang saya baca. “Al-ma’thurat,” jawab saya ringkas. “Al-Banna?” lelaki tadi bertanya lagi. Saya mengiakan sambil menghulurkan naskhah ma’thurat saya yang turut mengandungi terjemahan versi Indonesia, lengkap dengan riwayat-riwayat berkenaan dengan ayat al-quran dan zikir-zikir di dalam ma’thurat tersebut.

Dia memperkenalkan namanya sebagai ‘Abdo, berasal dari Mahmudiah, tempat lahir Hassan Al-Banna. Setelah saling memperkenalkan diri, kami berbual dalam bahasa Inggeris, bercampur bahasa arab yang cuma sedikit yang depat saya fahami. Antara isi perbualan kami adalah berkenaan Revolusi Mesir, keadaan Mesir dan umat Islam selepas Revolusi, tentang pilihanraya yang pada ketika itu belum berlangsung dan berkenaan dengan isu umat Islam seluruhnya. Antara cabaran di Mesir selepas revolusi adalah arus liberal dan generasi muda yang baru merasa “kebebasan”. Cabaran juga lahir daripada masyarakat kristian di Mesir. Walaupun jumlahnya tidak sampai 5%, namun mereka cuba mengambil kesempatan dalam ketidaktentuan selepas revolusi. ‘Abdo juga bertanya mengenai keadaan umat Islam di Malaysia.

‘Abdo bertanya juga mengenai buku apa yang saya baca, tafsir yang saya suka, dan beberapa soalan mengenai gagasan dakwah Imam Hassan Al-Banna yang saya fahami. Setelah kami bercerita panjang lebar, 

‘Abdo berkata: “Now, I am confidence. I am from The Brotherhood, Alhamdulillah.” Perbualan kami semakin rancak ketika itu sehingga waktu yang berlalu terasa begitu pantas. Kami bertukar-tukar email dan no telefon dan ‘Abdo berpesan supaya menghubunginya jika saya berkesempatan ke Mesir. Sebelum berpisah, ‘Abdo berpesan supaya mengingatinya dalam doa Rabithah, doa yang mengakhiri zikir ma’thurat. 

Doa Rabithah itulah ikatan yang menghubungkan seluruh pekerja dakwah di atas jalan ini, yang berkongsi fikrah dan kefahaman yang sama, yang terus bekerja untuk mengembalikan Islam ke tempat yang sepatutnya.

Doa Rabitah 
Ya Allah…
Engkau mengetahui bahawa
Hati-hati ini berhimpun kerana mengasihi-Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu
Bersatu memikul beban dakwah-Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia
untuk menegak dan mendaulatkan syariah-Mu
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini
Akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini
Dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini
Dengan makrifat pengetahuan yang sebenar tentang-Mu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu
Engkaulah sebaik-baik sandaran
Dan sebaik-baik penolong Ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin…

Tiba-tiba bunyi batuk Cikgu Alias mengembalikanku ke dunia nyata, setelah ingatanku bersama Akhi ‘Abdo yang mungkin telah kembali ke Mesir, bumi para nabi dan Rasul, bumi kelahiran Dakwah Ikhwanul Muslimin, walaupun masyarakat dunia mengenalinya sebagai bumi pyramid dan fir’aun.

Angin sejuk pagi itu mungkin tidak begitu sesuai untuk Cikgu Alias yang tentunya agak sensitive dengan suhu yang rendah pada usia sebegitu. Mungkin kalau terdedah kepada angin sejuk itu dengan lebih lama, batuk Cikgu Alias akan semakin teruk. Saya pun mengajak Cikgu Alias yang lebih selesa saya panggil Atuk itu untuk beredar dari Rooftop yang mula disinari mentari dhuha itu.

Itulah saat-saat akhir saya di Rooftop. Tanggal 1 Muharram 1433H, iaitu sehari selepas itu, ruang rooftop ditutup untuk orang awam, memandangkan kebanyakan jemaah haji telah pulang dan ruangan solat di aras tanah dan tingkat satu cukup untuk menampung jemaah yang masih tinggal.

Semoga kami akan kembali lagi ke sini.

December 26, 2011

Nota Penting:
  1. Mendaki Jabal Nur dan bersolat di atasnya atau di dalam gua hira’, bukanlah suatu tuntutan agama, dan tidak dijanjikan apa-apa fadhilat tertentu. Bagaimanapun, semangat ingin menjejak apa yang Rasulullah telah lalui, merasai penat lelahnya, mengambil pedoman dan berazam melaksanakan sunnahnya adalah suatu yang bermanfaat, semoga diberi ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT.
  2. Beruzlah (memencilkan diri) bukanlah sebahagian daripada tuntutan agama. Rasulullah tidak pernah beruzlah sebagaimana uzlah baginda di Gua Hira’ setelah baginda dilantik menjadi Rasul.
Menjadi kebiasaaan di kalangan kita untuk merasa sedikit bangga apabila menjejakkan kaki ke tempat yang ada sejarahnya yang panjang, atau tempat berlakunya sesuatu yang signifikan, contohnya: apabila berdiri di Old Trafford, kita mungkin akan berkata, inilah padang tempat bermainnya Ryan Giggs, atau Alan Shearer atau mana-mana lagenda bolasepak Man U. Demikian juga halnya dengan peminat All Blacks bila tiba di Canterbury atau peminat tenis di Roland Garros atau Wimbledon. Demikian juga halnya bila kita berada di Westminster Abbey, atau Eiffel Tower, Hollywood dan sebagainya. Menjejakkan kaki ke tempat-tempat seumpama ini tentunya memberikan nostalgia yang tersendiri.

Alhamdulillah, dalam beberapa ketika berada di Makkah selepas musim haji, saya berpeluang melawat beberapa tempat yang selalu kita baca dalam kitab-kitab seerah.
Pengalaman mendaki Gua Hira’ meruapakan antara pengalaman yang istimewa. Gua Hira’ terletak kira-kira 5 kiloemeter daripada Masjidil Haram (jarak dikira berdasarkan kiraan garis lurus menggunakan Google Map) atau kira-kira 8km mengikut jalanraya yang terhampir.

                                                                   Pendakian Gua Hira’

Gua Hira’ masih berada di dalam kawasan Tanah Haram. Perjalanan kami ke Gua Hira bermula kira-kira jam 3.00 petang. Dalam perjalanan kami, kedengaran berkumandang azan asar iaitu kira-kira jam 3.15 petang. Setibanya di kaki Bukit Nur (Jabal Nur), kami solat asar di sebuah masjid kecil di kaki bukit. Kami sempat solat berjemaah dengan penduduk tempatan di situ, yang cuma memulakan solat asar secara berjemaah kira-kira jam 3.45 petang, apabila ramai jemaah telah sampai ke Masjid.

Pendakian ke gua hira’ amat mecabar secara fizikalnya kerana bukitnya curam. Walaupun banyak anak tangga telah dibuat untuk memudahkan pengunjung, namun kesukaran mendaki anak-anak tangga itu masih terasa. Terlintas juga, bagaimana agaknya Rasulullah mendaki bukit ini sepanjang siri uzlah baginda di Gua Hira’.

Kami pernah diberitahu oleh Ust Halim yang memimpin kami sepanjang berada di tanah suci tentang pendakian Gua Hira’; Pada ketinggian lebih kurang setengah pendakian akan ada pondok menjual minuman, dan mungkin kita berpeluang ternampak bagaimana kotak-kotak minuman itu dipikul mendaki bukit tersebut, dan bagaimana peti sejuk tempat menyipan minuman itu di angkat ke atas sana.

Saya dan isteri hampir-hampir membatalkan niat kami untuk mendaki hingga ke puncak, apabila kami ternampak seorang nenek tua berbangsa turki yang sudah bongko tiga masih terus mendaki walau dengan bertongkat. Tidak kurang juga di kalangan mereka yang sedang mendaki turun memberi kata-kata perangsang supaya kami meneruskan pendakian.

Akhirnya, kami tiba juga di pondok menjual minuman. Walaupun dalan backpack yang saya bawa telah tersedia bekal air zamzam sejuk dari masjidil-haram, kami terasa sangat-sangat memerlukan tenaga baru daripada air minuman yang manis. Amat menakjubkan saya, apabila air minuman dalam tin yang disimpan dalam peti sejuk di pertangahan bukit itu masih sama harganya dengan air minuman di kaki bukit. Tiada eksploitasi di sini. Mungkin mereka sekadar mengharapkan pahala membantu orang lain yang dalam kesusahan, itu fikir saya.

Sebaik selesai menghirup minuman kami meneruskan pendakian. Antara yang menguatkan motivasi kami untuk terus berjalan ialah pasangan Haji Fuad dan Hajjah Nadzrah yang usia mereka telah lebih dari pada 50 tahun, hampir-hampir dua kali ganda usia kami, namun masih terus mendaki jauh di hadapan kami. Semoga Allah terus memberkati usia dan nikmat kesihatan kepada mereka.

Kami tiba jua di puncak Jabal Nur kira-kira jam 5.15 petang, kira-kira setengah jam sebelum masuk waktu Maghrib. Masih ramai manusia di sana, dan gua hira’ masih penuh dengan manusia yang hendak melihat tempat Rasulullah bertafakur, memisahkan diri daripada masyarakat Arab Jahiliyyah, mengenangkan nasib masyarakat yang kian jauh daripada ajaran Nabi Ibrahim dan mencari kebenaran daripada Allah yang Esa.

Pintu Gua Hira'

Kelihatan orang berpusu-pusu dihadapan pintu qua hira'
(gambar diambil dari puncak Jabal Nur)
Di puncak bukit itu, ada beberapa pondok yang dibina, ada yang siap dengan bangku dan dengan latarbelakang permaidani untuk sesiapa yang berhajat mengambil gambar (dengan sedikit bayaran), ada ruang untuk orang solat dan ada yang menjual pelbagai barangan seperti tasbih, batu-batu permata, cincin, inai dan lain-lain.

Permandangan matahari terbenam dari puncak itu cukup cantik, dengan cahaya daripada lampu ‘spotlight’ masjidil haram boleh dilihat di kejauhan. Mungkin inilah sebab Rasulullah memilih tempat ini, gua yang tenang, tersorok dari hiruk-pikuk kota Makkah, tetapi masih kelihatan dikejauhan, sambil bertemankan alam semesta cipataan Allah, langit, mentari, batu-batu dan burung-burung.
Permandangan matahari terbenam dari puncak jabal Nur;
 kelihatan Menara Jam Makkah dan Perkarangan Masjidil Haram
disebelah kanan gambar.
Kami solat Maghrib di puncak itu. Itulah solat yang istimewa bagi saya.

Selesai solat, kami mengisi masa di puncak Jabal Nur dengan sedikit Tazkirah oleh Ust Hasan Halim yang mengingatkan kami mengenai peristiwa Wahyu Pertama yang di terima oleh baginda Rasulullah di Gua Hira’ ini.
Tazkirah Maghrib
Antara isi penting pengisian Ust Hasan:
  1. Peristiwa turun Wahyu Pertama
  2. Pengasingan Jiwa daripada segala bentuk Jahiliyyah: walaupun secara zahirnya kita berada dalam dunia yang dipenuhi unsur-unsur Jahiliyyah
  3. Pentingnya ilmu dalam urusan agama: IQRA’
Perjalanan menuruni Jabal Nur pada waktu malam, dengan dibantu cahaya lampu suluh drpd handphone agak mencabar. Terlintas di fikiran, bagaimanakah Rasulullah bergegas turun daripada bukit ini, dalam keadaan tergesa-gesa, cemas dan terkejut dengan kunjungan pertama Jibril sehinggalah baginda bertemu Khadijah radiallahuanha, sambil meminta diselimutkan; zammiluuni, zammiluuni, zammiluuni…. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

About SURAU AL-HUSNA, TAMAN SELASIH GOMBAK

Blog Surau AL-Husna DiBina oleh AJK ICT Surau Al-Husna, Taman Selasih Fasa 1, Gombak Selangor. Semoga dengan ada Blog ini menjadi tempat Informasi Aktiviti-Aktiviti Surau serta Boleh mendalami ilmu-ilmu agama dan juga pelbagai info.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments

Leave a Reply