السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Segala pujian dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah melimpahkan nikmatnya yang tidak terhingga sama ada nikmat-nikmat tersebut disedari ataupun tidak disedari oleh kita. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan nikmat Islam.
Hari ini sementara saya ada mood untuk berbelog, ingin saya menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi iaitu sebelum solat Jumaat di Masjid al-Azim, Melaka.
Ceritanya ...
Setelah keluar daripada kereta yang diparkir diperkarangan masjid, saya mengeluarkan notebook daripada bag dan meletakkannya di atas bumbung kereta (kes malas nak bawa bag komputer ke dalam masjid). Setelah itu saya mencapai kerusi plastik (pada masa ini saya solat duduk atas kerusi sebab kena gout) dan terus berjalan ke masjid. Saya lupa langsung tentang notebook yang diletakkan di atas bumbung kereta tadi. Sebelum menutup pintu kereta saya berdoa kepada Allah SWT agar kereta dan barang-barang yang ditinggalkan dalam kereta tersebut selamat daripada kecurian.
Setelah berada dalam masjid kira-kira 5-10 minit baru saya teringat akan notebook yang diletakkan di atas kereta tadi. Jadi dengan hati yang berdebar-debar dan penuh mengharap saya bergegas semula ke tempat parkir. Alhamdulillah! Syukur kepada-Mu Ya Allah, sebab nun di atas bumbung kereta kelihatan notebook yang seakan-akan sedang menanti dengan sabar akan kedatangan saya untuk mengambilnya kembali (notebook pun hendak masuk masjid jugak, he he).
Inilah doa yang saya baca semasa menutup pintu kereta tadi. Sekian, semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekelian. Wasalam.
No comments