Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN
- Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
- Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.
- Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta’yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata “lembu ini aku jadikan qurban”. Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.
- Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.
DALIL PENSYARIATAN
- Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : “Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.
- Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”.
- Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya : “Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu”. (Hadis riwayat Tirmidzi)
FADHILAT IBADAH QURBAN
Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:
- Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”. (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
- Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: “Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”. (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
- Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.” (Hadis riwayat Thabrani) Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : “Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta’ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.” (Hadith riwayat Tirmidzi)
- Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami”.
HIKMAH BERQURBAN
- Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.
- Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.
- Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.
KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN
- Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.
- Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.
SYARAT SAH QURBAN
- Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.
- Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.
- Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.
JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN
- Ulama’ bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.
UMUR BINATANG QURBAN
- Unta – berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.
- Lembu/kerbau/kambing – 2 tahun masuk ke 3 tahun.
- Biri-biri/kibas – Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.
KEHARUSAN BERKONGSI HAIWAN QURBAN
- Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.
- Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.
- Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.
- Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.
- Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.
- Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.
WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN
- Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)
- Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.
- Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN
- Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan afalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.
- Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut.
- Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.
NIAT IBADAH QURBAN
- Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
- Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
- Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
- Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.
HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN
- Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
- Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
- Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.
PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN
- Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
- Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
- Membaca Bismillahirrohmanirrahim
- Berselawat ke atas Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
- Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
- Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
- Membaca doa : Maksudnya: “Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”
- Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.
NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN
Qurban Wajib dan Qurban Nazar :
- Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.
Qurban Sunat :
- Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
- Maksudnya : “….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).
- Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.
- Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
- Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.
- Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.
- Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam : Maksudnya:
- “Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
- Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.
No comments